MUNICH, 4 Mac- Mogok selama dua hari oleh pekerja di Lapangan Terbang Munich, lapangan terbang kedua terbesar di Jerman, menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan.
Menurut jurucakap lapangan terbang, hanya 100 daripada 830 penerbangan yang dijadualkan akan diteruskan seperti yang dirancang pada Khamis.
Pekerja-pekerja yang diwakili oleh kesatuan sekerja Verdi merancang untuk meneruskan mogok itu sehingga tengah malam Jumaat.
Verdi menuntut kenaikan gaji sebanyak lapan peratus atau sekurang-kurangnya 350 euro lagi sebulan, serta bonus yang lebih tinggi untuk pekerjaan stress dan lebih banyak cuti.
Kesatuan itu berkata kru darat dan kakitangan keselamatan memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada keselamatan dan trafik udara, sepanjang masa dalam semua keadaan cuaca.
Peningkatan bebanan kerja dan kekurangan kakitangan yang berterusan merupakan beban kepada pekerja, kata mereka.
Rundingan seterusnya dengan majikan dijadualkan pada 14 Mac.
Mogok di lapangan terbang kedua terbesar di Jerman selepas Frankfurt itu, berlaku pada waktu yang sibuk untuk perjalanan menjelang musim karnival di wilayah selatan Bavaria.
Pekerja juga telah mogok di Lapangan Terbang Hamburg sejak malam Khamis.
"Namun, kecuali penerbangan yang dibatalkan ke Munich, Lapangan Terbang Hamburg dapat mengekalkan operasi penerbangan seperti biasa," kata jurucakap lapangan terbang.
Pekerja juga telah mogok di Lapangan Terbang Cologne/Bonn dan Duesseldorf pada hari Isnin.-AFP