JAKARTA, 12 Februari- Beratus-ratus pelajar dan aktivis Indonesia akan mengadakan bantahan berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh Presiden Joko Widodo yang akan keluar untuk untuk mempengaruhi pengundi dalam pilihan raya pada Rabu, bagi menyokong Prabowo Subianto, kata penganjur.
Presiden Jokowi, tidak secara terbuka menyatakan sokongan kepada mana-mana calon presiden. Bagaimanapun, beliau dilihat membuat beberapa penampilan bersama Prabowo, dan anak sulungnya Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun, yang bertanding bagi jawatan naib presiden.
Dua tinjauan pendapat pada minggu lalu menjangkakan bahawa Prabowo mampu memperoleh lebih 50 peratus undi pada Rabu ini, sekali gus membolehkannya menang pada pusingan pertama dalam pilihan raya tersebut. Manakala, pesaingnya, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo berada sekurang-kurangnya 20 mata di belakang.
Sesetengah pengundi menyuarakan kebimbangan bahawa Presiden Jokowi dilihat sebagai kurang berkecuali, yang disifatkan sebagai merosakkan demokrasi Indonesia dengan mewujudkan persaingan tidak adil antara calon.
"Pelanggaran etika dan moral oleh Jokowi menunjukkan bahawa beliau menentang suara awam yang kritis," kata Aksi Gejayan Memanggil, penganjur protes di Yogyakarta, sebuah bandar di pulau Jawa, dalam Instagram.
Satu lagi protes telah dirancang di ibu kota Jakarta oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia.-REUTERS