fb fb fb fb fb

Wanita hamil, bayi dan kanak-kanak di Gaza terdedah bahaya

FOTO REUTERS

GAZA, 21 November - Kakitangan sebuah hospital di Gaza menceritakan peningkatan kelahiran pramatang, keguguran dan kematian bayi baru lahir akibat peperangan.

Ramai dalam kalangan ibu mengandung mengalami masalah kesihatan dan kemurungan.

Ketua Pengarah Jabatan Bersalin Hospital Nasser di Khan Younis, Walid Abu Hatab berkata, bantuan dan perkhidmatan sokongan terhadap wanita hamil adalah terhad ditambah dengan kekurangan bahan api untuk bekalan elektrik, kakitangan dan masalah kesesakan.

Hospital itu mencatu minyak untuk mengekalkan kuasa ke wad rawatan rapi dan bersalin, katanya..

"Malangnya jika bahan api ini kehabisan dan elektrik terhenti, semua jabatan rawatan rapi dan taska akan menjadi kubur besar.

"Jumlah kelahiran bagi Semenanjung Gaza adalah antara sekitar 56,000-58,000 setahun, dan kini yang meningkat semasa perang bukanlah jumlah kelahiran, tetapi jumlah kelahiran pramatang akibat daripada faktor pencerobohan dan psikologi dan sebagai akibat daripada wanita hamil yang sakit akibat tinggal di tempat penginapan yang tidak sesuai dan bilangan keradangan meningkat, contohnya saluran kencing dan ini telah menyebabkan peningkatan dalam bilangan kelahiran pramatang dan tahap keguguran meningkat dua kali ganda dalam tempoh pencerobohan, atau perang di Semenanjung Gaza." kata Abu Hatab.

Samah Qeshta, seorang bidan di hospital yang sama yang hamil sembilan bulan ketika ditemu bual, berkata perkhidmatan hospital itu terjejas teruk.

"Jumlah pesakit telah meningkat kerana bilangan orang yang berpindah telah meningkat, dari utara," katanya.

Hospital Nasser di Khan Younis, terletak di bahagian selatan Semenanjung Gaza. Puluhan ribu orang yang dipindahkan dari utara telah pun mencari perlindungan di sana di sekolah dan khemah, menyebabkan kesesakan teruk di tengah-tengah kekurangan makanan dan air.

Qeshta berkata dia perlu berjalan kaki sejam dari rumahnya untuk sampai ke tempat kerja setiap hari dan dia bimbang dengan bahaya yang dihadapinya.

Memeluk bayi kembar yang baru lahir di atas katil di hospital, Amani Abu Mutlaq berkata dia sangat memerlukan bekalan untuk anak-anaknya selepas keluarganya telah dipindahkan dari rumah mereka dalam konflik dengan sehelai sepinggang.

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk, berkata wabak penyakit dan kelaparan semakin meruncing di Gaza selepas serangan Israel berminggu-minggu ke atas wilayah Palestin.

Turk berkata kehabisan bahan api akan menjadi "malapetaka" di seluruh Gaza, yang membawa kepada keruntuhan sistem kumbahan dan penjagaan kesihatan dan menamatkan.- REUTERS

TETITIA YUSOFF