fb fb fb fb fb

Raja Jordan lantik Jafar Hassan sebagai PM baharu

Jafar Hassan (KIRI) dan Bisher Khasawneh ketika bermesyuarat dengan Raja Abdullah II / FOTO REUTERS

AMMAN, 16 September- Raja Jordan, Raja Abdullah II, pada Ahad telah mencalonkan ketua staf beliau sebagai perdana menteri baharu, menurut kenyataan istana diraja. Beliau diberi tanggungjawab untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya parlimen.

Perdana menteri yang bakal berundur, Bisher Khasawneh, telah menyerahkan peletakan jawatannya kepada raja pada Ahad.

Bawah perlembagaan Jordan, kerajaan biasanya meletak jawatan selepas pilihan raya perundangan. Raja yang melantik perdana menteri, bukan parlimen yang mempunyai kuasa terhad.

"Raja Abdullah pada hari Ahad telah menugaskan Jafar Hassan untuk membentuk kerajaan baharu," menurut kenyataan dari istana.

Selain menjadi ketua staf, Hassan yang berusia 56 tahun itu juga pernah menjadi menteri perancangan.

Dalam sepucuk surat yang diterbitkan oleh istana, Raja Abdullah menggesa Hassan untuk "menggerakkan semua usaha bagi menyokong ketabahan saudara-saudara kita di Palestin" di Gaza, Tebing Barat yang diduduki dan "Baitulmaqdis yang Suci".

Beliau juga menggesa perdana menteri yang dilantik untuk "bekerjasama dengan segala tenaga melalui gerakan Arab dan antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin, serta menghentikan serangan dan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa".

Dalam pilihan raya pada Selasa, parti Islam terkemuka di Jordan, iaitu Barisan Tindakan Islam (IAF), menjadi yang terbesar di parlimen, memenangi 31 daripada 138 kerusi.

IAF adalah cabang politik Ikhwanul Muslimin di Jordan, dan keputusan itu memberikan perwakilan terbesar kepada golongan Islamis sejak tahun 1989.

Menerusi peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 32 peratus, kejayaan parti itu datang hasil daripada pengundi yang kecewa dengan masalah ekonomi dan perang Israel terhadap kumpulan militan Hamas di Gaza.

Jordan menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada tahun 1994, menjadikannya negara Arab kedua yang berbuat demikian selepas Mesir, namun protes berkala sering menyeru pembatalan perjanjian tersebut sejak perang meletus pada Oktober lalu.

Hampir separuh daripada populasi negara itu adalah berasal dari Palestin.

Khasawneh, yang berusia 55 tahun, telah mengetuai kerajaan sejak Oktober 2020.

Parlimen Jordan bersifat dwidewan. Selain parlimen yang dipilih, terdapat juga sebuah senat dengan 69 ahli yang dilantik oleh raja.

Perang di Gaza telah memberi kesan kepada sektor pelancongan di Jordan, yang mana sektor berkenaan menyumbang sekitar 14 peratus daripada KDNK negara itu.

Kerajaan itusangat bergantung kepada bantuan luar, terutamanya daripada Amerika Syarikat dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Pada suku pertama 2024, kadar pengangguran adalah 21 peratus.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE