LONDON, 29 Oktober- Puluhan ribu orang sekali lagi mengadakan perhimpunan besar-besaran pro-Palestin di ibu negara Britain pada Sabtu di tengah-tengah serangan yang semakin sengit ke atas Gaza.
Melaungkan slogan pro-Palestin, orang ramai berkumpul di Embankment dan kemudiannya berarak ke arah Dataran Parlimen sambil membawa bendera Palestin.
Ketika serangan Israel ke atas Gaza semakin hebat, penunjuk perasaan menggesa gencatan senjata segera, mengkritik kerajaan British atas sokongannya kepada Israel.
Sabtu lalu, kira-kira 100,000 orang berarak di London sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.
Bercakap kepada Anadolu, penunjuk perasaan bernama Patrick berkata dia mengambil bahagian dalam demonstrasi untuk menyokong rakyat di Gaza.
Penunjuk perasaan Ireland berusia 73 tahun itu berkata, "Sebagai orang Ireland, saya menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin kerana apa yang berlaku di Gaza dan Israel adalah serupa dengan apa yang berlaku di Ireland."
Penganjur utama perhimpunan itu, Palestine Solidariti Campaign (PSC) berkata angka peserta perhimpunan mencecah setengah juta orang.
Orang ramai mengadakan protes duduk di dalam Stesen Waterloo sementara perhimpunan diteruskan.
Pelbagai kumpulan, termasuk Fossil Free London, Black Lives Matter, dan organisasi Yahudi British seperti Na'amood, turut mengambil bahagian dalam demonstrasi itu.
Mengibarkan bendera Palestin sebagai solidariti dengan penduduk Gaza, mereka melaungkan slogan, termasuk "Kami bersamamu Palestin", "Kami bersamamu Gaza," dan "Kami tidak akan berganjak."
Pelbagai demonstrasi pro-Palestin turut diadakan di seluruh Scotland dengan kehadiran orang ramai.
Gaza berada bawah serangan udara Israel tanpa henti sejak serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober.
Sekurang-kurangnya 7,703 rakyat Palestin, termasuk 3,595 kanak-kanak, telah terbunuh dalam serangan Israel.
Seramai 2.3 juta penduduk Gaza juga bergelut dengan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan akibat sekatan Israel ke atas kawasan tersebut.
Hanya beberapa trak bantuan telah menyeberang ke Gaza sejak pembukaan lintasan Rafah hujung minggu lalu.
Perhimpunan Agung PBB pada Jumaat meluluskan resolusi yang menggesa gencatan senjata, tetapi Menteri Luar Israel Eli Cohen menyifatkan ia "keji" dan menolaknya.-REUTERS