fb fb fb fb fb

PRU Thailand: PM Prayuth ketinggalan di belakang pesaing - Tinjauan pendapat

(Prayuth Chan-ocha, calon Perdana Menteri dari Parti Bangsa Thai Bersatu
semasa kempen pilihan raya umum di Bangkok, 7 April 2023/ REUTERS)

BANGKOK, 16 April- Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha masih ketinggalan di belakang parti pembangkang utama menjelang pilihan raya umum di negara itu bulan depan, menurut tinjauan pendapat yang terbaharu.

Pilihan raya pada 14 Mei itu akan menyaksikan pertembungan politik yang sudah berlangsung lama antara keluarga jutawan Shinawatra dan sekutu perniagaannya serta sebuah pertubuhan konservatif protentera.

Anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, Paetongtarn, 36, yang mewakili parti pembangkang utama, Pheu Thai secara konsisten mendahului tinjauan pendapat berkenaan.

Parti Pheu Thai berada di hadapan dengan 38.89 peratus dalam tinjauan seluruh negara oleh media tempatan Matichon yang dijalankan minggu lalu, diikuti oleh Parti Move Forward, yang diketuai oleh ahli politik pembangkang, Pita Limjaroenrat, sebanyak 32.37 peratus.

Parti Negara Thai Bersatu yang diwakili Prayuth berada di tempat ketiga dengan 12.84 peratus.

Prayuth, 69, yang juga bekas ketua tentera sudah memimpin Thailand selama lebih lapan tahun sejak dia menggulingkan kerajaan awam dalam rampasan kuasa pada 2014.

Ditanya siapa yang digemari untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya, sebanyak 29.42 peratus responden menerusi tinjauan pendapat menyokong Pita, diikuti Paetongtarn dengan 23.23 peratus, manakala Prayuth menduduki di tempat keempat dengan 13.72 peratus.

Bagaimanapun, Paetongtarn dan dua lagi calon perdana menteri partinya, tokoh hartanah terkenal Stretta Thavisin dan penyokong kuat parti, Chaikasem Nitisiri, bersama-sama disokong oleh kira-kira 40 peratus responden.

Tinjauan berasingan oleh Super Poll menunjukkan tidak akan ada kemenangan besar, dengan Parti Pheu Thai menerima 160 daripada 500 kerusi Parlimen, diikuti oleh parti Bhumjaithai, diketuai oleh Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, dengan 121 kerusi Parlimen.

Parti Prayuth berada di tempat kelima dengan 43 kerusi - REUTERS


(Foto fail Prayuth bermain air ketika beliau meraikan cuti Songkran yang menandakan
Tahun Baru Thai di Bangkok, 14 April 2023/ REUTERS)

Media Baharu