HUALIEN, 5 April - Pasukan penyelamat Taiwan masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat 18 mangsa gempa bumi yang masih hilang.
Gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter telah melanda di daerah timur Hualien pada Rabu, dilaporkan telah mengorbankan 10 orang dan ratusan orang terkandas.
Jabatan bomba Taiwan menganggarkan jumlah mangsa yang masih hilang 18 orang, termasuk empat warga asing yang sebelum ini disenaraikan sebagai warga India, Kanada dan Australia yang tidak diketahui lokasinya.
Enam orang lagi hilang di laluan mendaki, dan pasukan penyelamat seramai 45 orang sedang cuba menghubungi mereka, tambahnya.
Pasukan penyelamat mengesahkan bahawa kira-kira 400 orang yang terputus hubungan di sebuah hotel mewah di taman negara Taroko Gorge selamat dan telah membawa mereka keluar dari tempat kejadian menggunakan helikopter.
Sekumpulan 50 pekerja yang dalam perjalanan ke hotel dan telah terperangkap di jalan raya kini kebanyakannya terselamat.
"Saya bernasib baik kerana terselamat daripada bencana ini. Kami sangat ketakutan, terutamanya ketika gempa bumi pertama kali berlaku, kami fikir semuanya sudah berakhir, semuanya, semuanya, kerana ia adalah gempa bumi, bukan?" kata seorang pengurus keselamatan di hotel itu, David Chen, 63.
"Ketika kami berlepas, batu masih jatuh. Kami terpaksa meredah celah antara batu yang jatuh, dengan pasukan mencari dan menyelamat di hadapan," tambahnya.
Ibu Chen yang berusia 85 tahun melahirkan rasa syukur ketika mereka bersatu semula.
"Saya gembira melihatnya. Saya gembira apabila dia kembali. Saya tidak tidur langsung malam tadi dan tidak boleh makan apa-apa," kata ibu Chen Lan-chih.
Sekitar 50 gegaran susulan menggegarkan Hualien semalaman, beberapa dirasai di ibu kota Taipei. - REUTERS