fb fb fb fb fb

Presiden Tunisia pecat PM, lantik Sarra Zaafrani Zenzri sebagai pengganti

Perdana Menteri Tunisia, Kamel Madouri dipecat pada lewat malam Khamis

TUNIS, 21 Mac- Presiden Tunisia, Kais Saied, telah memecat Perdana Menteri Kamel Madouri pada lewat malam Khamis, di tengah-tengah krisis ekonomi yang melanda negara itu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Madouri yang baru dilantik pada Ogos tahun lalu kini digantikan oleh Sarra Zaafrani Zenzri, bekas Menteri Kerja Raya Awam.

Presiden Saied sebelum ini telah menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap prestasi kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Tunisia kini berdepan kesukaran ekonomi yang serius dengan pertumbuhan yang perlahan dan kadar pengangguran yang tinggi.

Sebagai pemimpin yang mempunyai kuasa penuh dalam pelantikan serta pemecatan menteri dan hakim, Saied melantik Madouri sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2024 dalam rombakan kabinet besar-besaran yang turut menyaksikan pertukaran 19 menteri lain atas alasan kepentingan tertinggi negara dan keselamatan nasional.

Rombakan terbaru itu berlaku dalam suasana politik yang tegang, dengan puluhan penentang kerajaan termasuk ahli perniagaan dan tokoh media telah dipenjarakan sejak dua tahun lalu.

Saied, yang menjadi Presiden sejak 2019, sebelum ini mendapat sokongan besar selepas menjanjikan pembanterasan rasuah dan ketidakcekapan dalam kerajaan.

Namun, Tunisia yang mempunyai lebih 12 juta penduduk masih mengalami kekurangan bekalan keperluan asas seperti susu, gula, dan tepung, selain berdepan hutang negara yang mencecah 80 peratus daripada KDNK.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kadar pertumbuhan ekonomi Tunisia dijangka hanya mencapai 1.6 peratus bagi tahun 2025.

Saied memenangi pilihan raya semula pada Oktober 2024 dengan lebih 90 peratus undian, namun jumlah keluar mengundi hanya sekitar 30 peratus.

Pada Februari lalu, beliau turut memecat Menteri Kewangan, Sihem Boughdiri Nemsia, dan melantik magistrat Michket Slama Khaldi sebagai penggantinya dalam tindakan mengejut yang dilakukan pada lewat malam.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE