fb fb fb fb fb

Presiden Peru didakwa terlibat rasuah skandal 'Rolexgate'

Presiden Peru, Dina Boluarte/Foto REUTERS

LIMA, 28 Mei - Peguam Negara Peru pada Isnin mendakwa Presiden Dina Boluarte menerima rasuah berbentuk jam tangan Rolex dalam perkembangan baharu skandal rasuah yang menggegarkan kerajaan pimpinannya.

Peguam Negara, Juan Carlos Vilena berkata tindakan Boluarte menerima barangan mewah berkenaan daripada gabenor adalah sama dengan menerima rasuah.

Skandal itu meletus pada Mac dengan penemuan sekumpulan jam tangan mewah Rolex dan barang kemas yang tidak diisytiharkan dalam simpanan Presiden.

Boluarte memberitahu pendakwa raya bulan lalu bahawa jam tangan Rolex berkenaan dipinjamkan oleh salah seorang rakannya yang merupakan Gabenor wilayah Ayacucho, Wilfredo Oscorima.

Oscorima sedang disiasat atas dakwaan menerima faedah tidak wajar daripada pegawai kerajaan negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Peru, Gustavo Adrianzen mengkritik dakwaan tersebut sebagai penganiayaan terhadap Boluarte.

"Ini tidak lebih daripada satu contoh penganiayaan sistematik dalam hal fiskal yang dilakukan terhadap presiden dengan cara yang tidak wajar, tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang," kata Adrianzen kepada televisyen Canal N.

Jawatankuasa kongres kini perlu membahaskan tuduhan berkenaan sebelum Dewan berbuat demikian.

Keputusan akhir bergantung kepada mahkamah sama ada membicarakan Boluarte selepas tempoh perkhidmatannya sebagai Presiden tamat pada Julai 2026.

Kedudukan Boluarte kini semakin sukar apabila dia hanya mempunyai 12 peratus sokongan menerusi tinjauan IPSOS dan tidak mempunyai parti dalam Kongres.

Dia kini memerlukan sokongan daripada pihak konservatif.

Peru dilihat mengalami konflik politik meruncing menyaksikan enam Presiden berkuasa dalam tempoh lapan tahun.

Boluarte mengambil alih tampuk kepimpinan negara berkenaan pada Disember 2022 menggantikan Presiden berhaluan sayap kanan, Pedro Castillo yang dipecat dan dipenjarakan atas dakwaan cuba membubarkan Kongres.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD