fb fb fb fb fb

Presiden Perancis tiba di Vietnam, lawatan pertama dalam sedekad

Presiden Perancis, Emmanuel Macron tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi bersama isterinya, Brigitte/Foto AFP

HANOI, 26 Mei - Presiden Perancis Emmanuel Macron tiba di Vietnam pada Ahad, menandakan lawatan pertama oleh pemimpin Perancis ke negara Asia Tenggara itu dalam tempoh sedekad.

Lawatan negara selama tiga hari itu merangkumi pertemuan dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam dan Presiden Luong Cuong, selain menghadiri majlis menandatangani beberapa perjanjian dua hala.

Ini merupakan lawatan pertama Macron ke Vietnam sejak beliau memegang jawatan pada 2017.

Lawatan itu menyusul selepas kunjungan rasmi To Lam ke Perancis pada Oktober tahun lepas, yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan mereka kepada “perkongsian strategik komprehensif.”

Perancis dan Vietnam menjalinkan hubungan diplomatik pada peringkat duta pada April 1973.

Perdagangan dua hala mencecah US$5.42 bilion tahun lepas, dengan US$1.79 bilion dicatatkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Selepas lawatan ke Vietnam, Macron dijadual ke Jakarta untuk bertemu Presiden Indonesia Prabowo Subianto, sebelum ke Singapura, di mana beliau dijangka menyampaikan ucaptama pada Dialog Shangri-La pada Jumaat.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada strategi Perancis untuk memperkukuh penglibatan ekonomi dan menyaingi pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik. - BERNAMA

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD