fb fb fb fb fb

Li Qiang seru China-Indonesia jalin kerjasama lebih erat

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kiri) bersama Perdana Menteri China, Li Qiang (kanan) memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa upacara sambutan rasmi di Istana Merdeka, Jakarta/Foto REUTERS

JAKARTA, 26 Mei - Perdana Menteri China, Li Qiang menyeru kerjasama lebih erat antara China dan Indonesia dengan memperkukuh integrasi industri serta mempertahankan perdagangan bebas.

Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara, Li menegaskan semangat solidariti, persahabatan dan kerjasama kekal relevan dalam menghadapi dunia yang kini berdepan unilateralisme, perlindungan perdagangan dan tindakan membuli antara negara.

"China dan Indonesia telah membuktikan kejayaan kerjasama praktikal menerusi peningkatan perdagangan dua hala, pelaburan, serta projek mega yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara,"katanya ketika menghadiri Majlis Resepsi Perniagaan Indonesia-China 2025 bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di sini semalam.

Li turut memaklumkan bahawa ekonomi China mencatat pertumbuhan pesat meskipun berdepan cabaran luaran, disokong oleh permintaan domestik yang tinggi dan inovasi teknologi pesat dalam bidang kecerdasan buatan, robotik dan biofarmaseutikal.

Beliau menambah, China bersedia berkongsi peluang pertumbuhan dengan semua negara termasuk Indonesia, serta komited membuka pasaran secara lebih meluas dan menyediakan persekitaran mesra pelaburan untuk syarikat asing.

Sementara itu, Prabowo Subianto menyifatkan hubungan Indonesia-China sebagai antara hubungan dua hala paling strategik dan menjanjikan abad ini.

"Indonesia sedia memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, industri hijau, pendidikan dan kebudayaan," menurutnya.

Kedua-dua pemimpin turut melawat pameran memperingati ulang tahun ke-70 Persidangan Bandung dan kejayaan kerjasama ekonomi dua hala sebelum menghadiri jamuan malam rasmi.

Lawatan rasmi Li ke Indonesia adalah atas jemputan Prabowo sebelum beliau meneruskan lawatan ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Mei.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD