PARAMARIBO, 27 Disember-Polis telah mengarahkan bedah siasat ke atas mayat bekas presiden Surinam, Desi Bouterse pada Khamis selepas melancarkan siasatan susulan pemindahan mayatnya dari lokasi persembunyiannya di sini.
Mayat Bouterse, yang meninggal dunia pada Selasa pada usia 79 tahun, telah dibawa ke rumahnya di Paramaribo oleh seseorang yang tidak dikenali, menurut pihak berkuasa, selepas beliau menjadi pelarian selama hampir setahun.
Polis melaporkan bahawa mayat tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda aktiviti jenayah menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
"Selepas berkerjasama dengan pejabat pendakwa raya, mayat telah dibawa untuk bedah siasat bagi menentukan kemungkinan punca kematian," kata kenyataan itu.
"Satu siasatan jenayah sedang dijalankan dan beberapa individu sedang disoal siasat," tambah polis.
Bouterse telah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun pada Disember 2023 kerana menggantung penentang politik termasuk peguam, wartawan, ahli perniagaan dan tahanan tentera pada tahun 1982, dua tahun selepas merampas kuasa dalam satu rampasan kuasa tentera.
Beliau pada mulanya meninggalkan jawatan pada tahun 1987 di bawah tekanan antarabangsa, tetapi kembali untuk memerintah selama satu tahun selepas rampasan kuasa kedua pada tahun 1990.
Bouterse, yang kemudiannya dipilih sebagai presiden pada 2010 dan memerintah negara Amerika Selatan itu sehingga 2020, kekal sebagai tokoh yang popular sehingga akhir hayatnya.-AFP.