fb fb fb fb fb

Perlumbaan kapal layar: Dua maut dipukul tiang layar

Foto AFP

SYDNEY, 27 Disember – Dua pelayar maut dalam insiden berasingan semasa perlumbaan kapal layar Sydney ke Hobart, menurut penganjur dan pihak berkuasa tempatan pada Jumaat.

Ini merupakan kehilangan nyawa pertama dalam perlumbaan berprestij itu sejak tahun 1998.

Menurut kenyataan di laman web penganjur perlumbaan, kedua-dua anak kapal maut selepas dipukul oleh tiang layar, iaitu tiang mendatar yang memegang layar dan bergerak mengikut arah angin.

Polis New South Wales memaklumkan laporan pertama diterima sebelum tengah malam, melibatkan seorang anak kapal yang dipukul oleh tiang layar.

Usaha CPR dilakukan oleh rakan kru, namun mangsa gagal diselamatkan.

Beberapa jam kemudian, seorang anak kapal di kapal lain turut dilaporkan mengalami insiden serupa dan maut.

"Komuniti pelayaran adalah komuniti yang sangat rapat, dengan kira-kira seribu pelayar menyertai perlumbaan ini.

Kehilangan dua pelayar dalam keadaan seperti ini sangat menghancurkan hati," kata David Jacobs, Naib Komodor Kelab Kapal Layar Cruising Australia.

"Kami sentiasa berusaha meningkatkan keselamatan di mana sahaja kami boleh.

Siasatan akan dijalankan, dan jika ada langkah yang boleh diambil untuk mencegah kejadian ini, kami akan melaksanakannya," tambah beliau.

Cuaca buruk menyebabkan beberapa kapal menarik diri daripada edisi ke-79 perlumbaan yang bermula pada Khamis.

Kehilangan nyawa kali terakhir dalam perlumbaan tersebut berlaku pada tahun 1998 apabila lima kapal layar karam dan enam pelayar maut selepas ribut besar melanda armada kapal.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN