fb fb fb fb fb

Poland setuju lanjutkan larangan import bijirin Ukraine

(FOTO AFP)

WARSAW, 13 September - Poland pada Selasa bersetuju melanjutkan larangan import bijirin Ukraine secara unilateral walaupun sekatan Kesatuan Eropah (EU) tamat pada 15 September.

"Tidak kira keputusan lanjut EU, kami tidak akan membuka sempadan kepada bijirin Ukraine selepas tarikh itu," kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Kenyataan memaklumkan, kerajaan akan tetap meneruskan larangan di peringkat EU dan akan berbuat demikian dalam apa jua keadaan.

“Jika Brussels tidak mengekalkan sekatan, kami akan memperkenalkan sendiri langkah-langkah ini... Kepentingan kawasan luar bandar Poland adalah yang paling penting bagi kami,” katanya.

Konflik di Ukraine dan masalah eksport bijirin Ukraine melalui Laut Hitam telah menyebabkan EU menjadi laluan transit utama dan destinasi eksport untuk bijirin Ukraine.

(FOTO AFP)

Pada Jun, EU bersetuju untuk menyekat import bijirin dari Ukraine kepada lima negara anggota yang berusaha untuk melindungi petani mereka yang menyalahkan tindakan mengimport sebagai penyumbang kepada kemerosotan harga di pasaran tempatan.

Lima negara anggota itu ialah Bulgaria, Hungary, Poland, Romania dan Slovakia.

Kelima-lima negara ini meminta sekatan yang tamat pada Jumaat ini, dilanjutkan.

Usaha kerajaan melanjutkan larangan itu mendapat sokongan kuat di kawasan penduduk yang mempunyai majoriti golongan petani.

"Saya ingin memberi jaminan kepada semua petani, seluruh kawasan luar bandar Poland, bahawa kami pasti akan mempertahankan kepentingan petani Poland," kata Perdana Menteri, Mateusz Morawiecki pada mesyuarat kabinet.

Timbalan Perdana Menteri Jaroslaw Kaczynski berkata Poland mahu membantu Ukraine "tetapi pada masa yang sama kita mesti ingat rakyat kita."

Kerajaan menerima pakai resolusi yang menggesa EU melanjutkan larangan import gandum, jagung, biji serai dan biji bunga matahari.

Ia berkata larangan Poland "akan kekal berkuat kuasa sehingga hubungan pertanian antara Poland dan Ukraine dikawal selia."

Isu import bijirin telah mencetuskan perbalahan diplomatik antara kedua-dua negara jiran itu.

Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmygal berkata pada Selasa bahawa Kiev sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.

"Kami tidak berniat untuk mencederakan petani Poland...tetapi sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang perdagangan demi kepentingan populisme politik sebelum pilihan raya, Ukraine akan terpaksa beralih kepada timbang tara WTO untuk mendapatkan pampasan bagi pelanggaran norma GATT," kata Shmygal merujuk kepada Perjanjian Umum mengenai Tarif dan Perdagangan.-AFP

Media Baharu