fb fb fb fb fb

PM Croatia gesa kerjasama lebih erat dalam kalangan negara NATO

(Polis menjalankan siasatan dengan kerjasama polis tentera selepas dron tentera yang tidak dikenali terhempas di kawasan Jaraun, Zagreb pada 10 Mac 2022/XINHUA)

ZAGREB, 13 Mac - Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenkovic menggesa kerjasama lebih rapat dalam kalangan negara anggota NATO susulan kejadian dron peninjau dipercayai milik tentera Ukraine terhempas di ibu negara Zagreb.

Plenkovic menegaskan, pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan kejadian seumpama itu, memandangkan ia memberi ancaman yang sangat jelas kepada negaranya.

Beliau menggesa kerjasama lebih erat bagi mengelak insiden serupa berulang.

(Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenkovic/Google)

Khamis lepas dron peninjau era Soviet, Tu-141 buatan Rusia memasuki ruang udara Croatia dari Hungary, selepas membuat penerbangan dari Romania (ketiga-tiganya negara anggota NATO).

Ia kemudiannya terhempas di kawasan letak kereta di bandar Zagreb, menyebabkan kira-kira 40 kenderaaan rosak.

Tiada kecederaan dilaporkan.

"Daripada maklumat yang diterima, ia (dron itu) dengan jelas dilancarkan dari wilayah Ukraine," kata Plenkovic kepada pemberita.

"Kami tidak tahu dron itu dikendalikan oleh siapa dan sama ada kejadian itu adalah kemalangan, kesilapan atau memang dirancang, kami tidak tahu pada ketika ini.

"Namun ia menunjukkan bahawa kerjasama lebih rapat diperlukan dalam kalangan anggota NATO," katanya.
-AFP

Media Baharu