fb fb fb fb fb

Pilihan raya Poland: Pertembungan sengit calon presiden

Calon Presiden Poland, Karol Nawrocki (kiri) dan Rafal Trzaskowski / AFP

WARSAW, 2 Jun- Persaingan sengit antara calon nasionalis dan centrist untuk jawatan Presiden Poland menunjukkan keputusan yang sangat rapat, menurut tinjauan awal (exit poll) yang diumumkan semalam.

Kedua-duanya yakin akan meraih kemenangan dalam pilihan raya yang bakal memberi impak besar kepada hubungan Poland dengan Kesatuan Eropah (EU).

Anggaran awal Ipsos yang mengambil kira sebahagian keputusan rasmi menunjukkan Karol Nawrocki, seorang ahli sejarah nasionalis, mendahului tipis dengan 50.7 peratus undi, mengatasi Datuk Bandar Warsaw, Rafal Trzaskowski, yang memperoleh 49.3 peratus.

Sebelum ini, tinjauan awal sama oleh Ipsos meletakkan Trzaskowski, 53 tahun, di depan dengan 50.3 peratus, manakala Nawrocki, 42 tahun, mendapat 49.7 peratus.

Keputusan penuh dijangka hanya akan diumumkan pada awal pagi Isnin.

“Kita menang… tapi tipis sahaja,” kata Trzaskowski kepada penyokongnya selepas keputusan tinjauan awal diumumkan. “Saya dah cakap awal-awal yang ini memang akan jadi sangat sengit,” tambah beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada para pengundi.

Sementara itu, Nawrocki turut bertegas: “Kita akan menang malam ini. Kita akan menang dan selamatkan Poland,” katanya.

Jika Trzaskowski menang, ia akan memperkukuh status Poland dalam EU serta membuka jalan kepada agenda pembaharuan kerajaan, khususnya dalam isu hak LGBTQ dan pengguguran janin.

Sebaliknya, kemenangan Nawrocki, yang mengagumi bekas Presiden AS, Donald Trump, boleh menjadikan Poland rakan yang lebih ‘sukar’ dalam EU serta mungkin membawa kepada pilihan raya parlimen baharu.

Presiden Poland mempunyai kuasa veto terhadap undang-undang dan juga bertindak sebagai panglima tertinggi angkatan tentera dalam negara yang mempunyai ekonomi pesat berkembang dengan 38 juta penduduk ini.

Kemenangan Nawrocki, calon bebas, akan menguatkan lagi semangat parti populis PiS (Law and Justice) yang memerintah Poland dari 2015 hingga 2023.

Ramai penyokongnya mahu kawalan imigresen lebih ketat serta memperjuangkan nilai-nilai sosial konservatif dan kedaulatan yang lebih besar dalam EU.

Poland, anggota EU dan NATO, menjadi penyokong diplomatik penting kepada Ukraine dalam menangkis pencerobohan Rusia. Ia juga laluan utama untuk bantuan dan senjata Barat ke Ukraine.

Kemenangan Nawrocki dijangka merumitkan hubungan ini kerana beliau menentang keahlian NATO untuk Ukraine dan bercadang memperketatkan syarat untuk kira-kira sejuta pelarian Ukraine di Poland.

Pensyarah sains politik Universiti Warsaw, Anna Materska-Sosnowska, menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai “pertembungan tamadun” kerana perbezaan dasar yang begitu besar.

Ramai pengundi Trzaskowski mahukan Poland lebih terintegrasi dengan EU serta lebih agresif dalam pembaharuan sosial.

Trzaskowski menyokong perkahwinan sejenis dan pelonggaran undang-undang pengguguran yang hampir sepenuhnya diharamkan.

Kerajaan semasa yang mengambil alih pada 2023 berdepan kebuntuan dalam usaha reformasi kerana percanggahan dengan Presiden sedia ada, Andrzej Duda.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE