TOKYO, 20 Julai- Rakyat Jepun keluar mengundi pada Ahad bagi memilih separuh daripada anggota Dewan Atasan dalam pilihan raya yang dijangka berdepan persaingan sengit.
Pemilihan itu dilihat mampu mengugat kedudukan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, dengan isu tumpuan berkait kenaikan harga barang dan imigresen.
Menurut tinjauan pendapat, Parti Liberal Demokratik (LDP) yang diterajui Ishiba bersama rakan gabungan Komeito berkemungkinan gagal memperoleh sekurang-kurangnya 50 kerusi yang diperlukan bagi mengekalkan majoriti dalam Dewan Atasan yang mempunyai 248 kerusi.
Parti-parti pembangkang lebih kecil, yang berkempen untuk pemotongan cukai dan peningkatan perbelanjaan awam, dijangka mencatat peningkatan sokongan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah parti berhaluan kanan, Sanseito yang tegas menentang kemasukan pelaburan asing, menolak dasar kesaksamaan gender dan menyeru kawalan imigresen lebih ketat.
Proses pengundian akan berakhir pada pukul 8.00 malam waktu tempatan dan keputusan awal dijangka diumumkan sejurus selepas itu berdasarkan data tinjauan keluar mengundi.
Dalam pada itu, seorang penulis novel yang mengundi parti pembangkang Parti Demokratik Perlembagaan Jepun, Kaoru Kawai, 59 tahun, menyatakan rasa kecewanya terhadap kerajaan.
“LDP terus mentadbir tanpa menyelesaikan apa-apa isu sejak era pentadbiran Abe. Saya rasa segalanya sudah sampai ke hadnya,” kata Kawai. - REUTERS