fb fb fb fb fb

Kesihatan SBY semakin baik

Kesihatan bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semakin baik dan kembali meneruskan minat melukisnya di bilik rawatan. - Foto Instagram aniyudhoyono

JAKARTA, 20 Julai – Bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), 75, yang kini dirawat di Hospital Tentera Gatot Soebroto, Jakarta dilapor menunjukkan perkembangan positif.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi beliau, SBY dilihat kembali melukis di bilik rawatan, walaupun tangan kanan masih dipasang alat titisan intravena (IV).

“Set alat lukis telah disediakan di bilik hospital pagi ini… beliau memegang berus dan melukis sepenuh jiwa menggabungkan warna. Ia satu detik yang menyentuh hati,” tulis hantaran itu.

Turut dikongsi satu hasil lukisan beliau yang belum siap sepenuhnya dan akan dikongsi sepenuhnya selepas siap kelak.

Hantaran sama juga menyeru orang ramai agar mendoakan kesembuhan segera buat Presiden ke-6 Indonesia itu.

Sementara itu, jurucakap Parti Demokratik, Herzaky Mahendra Putra, mengesahkan bahawa SBY sedang menjalani rawatan, namun enggan mengulas lanjut mengenai jenis penyakit yang dihidapi.

SBY memegang tampuk pemerintahan Indonesia dari 2004 hingga 2014.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN