fb fb fb fb fb

Pesawat terhempas: 18 disahkan maut di Nepal, juruterbang selamat

FOTO REUTERS

KATHMANDU, 24 Julai- Kesemua 18 orang yang menaiki pesawat Saurya Airlines yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di sini pagi tadi disahkan meninggal dunia, manakala juruterbangnya terselamat.

Jurucakap polis, Dan Bahadur Karki berkata, pesawat jenis Bombardier CRJ 200 itu membawa dua anak kapal dan 17 kakitangan syarikat penerbangan terbabit.

Kesemua mangsa dilapor dalam perjalanan ke Pokhara, hab pelancongan popular di Himalaya.

“Juruterbang berjaya diselamatkan dan sedang dirawat. 18 mayat telah ditemui, termasuk seorang warga asing. Kami sedang dalam proses membawa mereka ke hospital untuk bedah siasat," katanya.

Beliau juga tidak dapat mengesahkan kewarganegaraan satu-satunya mangsa warga asing tersebut.

Kesemua mangsa termasuk juruterbang ditemukan dalam serpihan pesawat yang pecah kepada dua bahagian dan terbakar selepas terhempas ke darat.

Terdahulu, akhbar Kathmandu Post melaporkan pesawat itu terhempas ketika berlepas di lapangan terbang terbabit kira-kira pukul 11.00 pagi waktu tempatan.

Video dari tempat kejadian menunjukkan kebakaran besar dengan asap menjulang naik. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA