fb fb fb fb fb

Pesawat ringan terhempas di Brazil, 10 terbunuh

Kebakaran yang tercetus selepas sebuah pesawat ringan (bulatan) terhempas di pusat bandar pelancongan Gramado, Brazil/ Twitter @LeoKasura

GRAMADO, 22 Disember- Sebuah pesawat ringan membawa 10 orang terhempas ke beberapa kedai di pusat bandar pelancongan di sini, selatan Brazil pada Ahad dengan laporan awal mengesahkan tiada mangsa terselamat.

"Malangnya laporan awal menunjukkan kesemua penumpang pesawat tidak terselamat," kata Gabenor Eduardo Leite dalam hantaran di platform media sosial X.

Sementara itu, menurut pejabat keselamatan awam negeri Rio Grande do Sul, sekurang-kurangnya 15 orang telah dibawa ke hospital tempatan kebanyakannya mengalami gejala akibat terhidu asap daripada kebakaran yang tercetus selepas nahas tersebut.

Pesawat berkenaan dilapor melanggar cerobong bangunan sebelum merempuh tingkat dua sebuah rumah dan akhirnya terhempas ke sebuah kedai perabot dengan serpihan turut mengenai sebuah penginapan berhampiran.

Gramado terletak di kawasan pergunungan merupakan destinasi pelancongan paling popular di Rio Grande do Sul, negeri terkesan teruk awal tahun ini akibat banjir besar dan meragut puluhan nyawa serta merosakkan infrastruktur.

Nahas berlaku beberapa hari sebelum Krismas ketika bandar itu sibuk dengan pelbagai acara perayaan dan dihiasi dekorasi tradisional. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA