fb fb fb fb fb

Pesawat Korean Air menuju Taichung patah balik alami kerosakan

Foto Hiasan/ REUTERS

SEOUL, 22 Jun- Sebuah pesawat Korean Air yang menuju ke bandar Taichung di tengah Taiwan terpaksa patah balik ke Incheon selepas mengalami kerosakan, lapor agensi berita Yonhap pada Sabtu.

Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, barat Seoul, pada 4.45 petang dengan 125 penumpang, mengesan masalah pada sistem tekanannya ketika berada di ruang udara pulau peranginan selatan Korea Selatan, Jeju, 50 minit selepas berlepas.

Sistem itu bertanggungjawab untuk mengawal tekanan dalaman pesawat.

Pesawat berkenaan kembali ke lapangan terbang berlepas pada 7.38 malam.

Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, 15 penumpang mengalami sakit gegendang telinga dan hiperventilasi semasa turun. Daripada jumlah itu, 13 telah dibawa ke hospital. Tiada kecederaan serius dilaporkan.

Korean Air merancang menggunakan pesawat lain untuk berlepas semula pada 10.30 pagi Ahad, kira-kira 19 jam lewat daripada jadual asal.- BERNAMA-YONHAP

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI