fb fb fb fb fb

Pesawat Air China mendarat cemas akibat bateri terbakar

Tangkap layar video tular yang dikongsi menerusi X @aviationbrk menunjukkan keadaan panik apabila berlaku kebakaran di kabin pesawat Air China yang dalam penerbangan ke Seoul hari ini

BEIJING, 18 Oktober- Sebuah pesawat penumpang komersial Air China dari Hangzhou ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Shanghai selepas bateri litium dalam bagasi kabin salah seorang penumpang terbakar.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu di platform media sosial Weibo, kejadian berlaku pagi tadi dalam pesawat penerbangan CA139 apabila bateri litium yang disimpan dalam beg kabin di ruang penyimpanan atas kepala “menyala secara spontan.”

"Kru pesawat segera mengendalikan situasi menurut prosedur dan tiada kecederaan dilaporkan," kata Air China.

Bagi memastikan keselamatan penerbangan, pesawat berkenaan dialihkan untuk pendaratan tidak berjadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai.

Gambar yang tular dan disiarkan oleh portal media, Jimu News menunjukkan api jelas kelihatan dari ruang penyimpanan atas kepala serta kepulan asap hitam di dalam kabin, sementara seorang penumpang dilihat cuba memadamkan api.

Data laman pengesan penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat itu berlepas dari Hangzhou pada 9.47 pagi waktu tempatan sebelum berpatah balik di ruang udara berhampiran perairan antara pantai timur China dan Pulau Kyushu, Jepun.

Pesawat mendarat di Shanghai sejurus selepas pukul 11 pagi. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA