LIMA, 9 November- Peru dan China akan menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang dikemas kini semasa lawatan Presiden Xi Jinping ke negara Andean itu.
Kerjasama itu dijangka akan meningkatkan perdagangan sekurang-kurangnya 50 peratus antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Peru, Elmer Schialer pada Jumaat.
Dalam satu temu bual dengan Reuters, Schialer berkata presiden China akan mengunjungi Peru bersama delegasi seramai 400 ahli perniagaan, yang berminat untuk melabur dalam projek infrastruktur dan teknologi di negara itu.
Perjanjian perdagangan bebas tersebut pada asalnya telah ditandatangani pada tahun 2009.
Namun, menerusi versi yang "diperbaharui", ia akan ditandatangani bersama 30 perjanjian lain menyasarkan peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.
"China adalah rakan perdagangan utama kami. Pakar-pakar berkata ini akan meningkatkan dinamik perdagangan tersebut sekurang-kurangnya 50 peratus," kata Schialer.
Menurut data Kementerian Perdagangan Peru, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencapai hampir $36 bilion tahun lalu.
China memiliki banyak projek perlombongan dan infrastruktur di Peru, termasuk pelabuhan mega Chancay yang dibangunkan oleh Cosco Shipping Port.
"Pelabuhan ini akan membawa Peru ke tahap perdagangan yang lebih tinggi," kata Schialer.
Pelabuhan tersebut akan dirasmikan oleh Presiden Peru, Dina Boluarte dan Presiden China, Xi Jinping pada 14 November ini.
Schialer turut menambah bahawa portfolio projek perlombongan Peru berjumlah $54 bilion, manakala projek-projek infrastruktur yang masih belum dibangunkan di negara itu berjumlah $157 bilion.
Beliau menyatakan bahawa China amat berminat terhadap projek-projek ini.
Dalam perkembangan lain, beliau tidak menjangkakan sebarang perubahan dengan Amerika Syarikat bawah pentadbiran presiden baharu AS, Donald Trump.
"Satu-satunya perkara yang kami harapkan dan yakin akan berlaku adalah peningkatan kehadiran pelaburan Amerika Syarikat," katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua pentadbiran AS yang keluar dan yang masuk telah "memberi isyarat yang jelas tentang minat mereka" dalam bidang pelaburan.- REUTERS