CARACAS, 19 Julai – Sebuah pesawat yang membawa warga Venezuela yang sebelum ini ditahan di El Salvador selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar berhampiran Caracas pada Jumaat.
Menurut Presiden El Salvador, Nayib Bukele, penghantaran pulang itu adalah sebahagian daripada pertukaran tahanan antara Venezuela dan Amerika Syarikat, di mana warga AS yang ditahan di Venezuela pula dibebaskan dan sedang dalam perjalanan ke El Salvador sebelum pulang ke tanah air masing-masing.
Dalam kenyataan di platform X, Bukele berkata, "Warga Amerika Syarikat yang dibebaskan di Venezuela kini dalam penerbangan ke El Salvador dan akan meneruskan perjalanan pulang dari sini."
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Venezuela, Diosdado Cabello mendakwa tahanan warganya telah diserang semasa menaiki pesawat di El Salvador, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai insiden tersebut.
Kesemua tahanan Venezuela itu sebelum ini dihantar ke El Salvador oleh Amerika Syarikat pada bulan Mac lalu, selepas Presiden Donald Trump menggunakan Akta Musuh Asing 1798 (Alien Enemies Act) bagi mempercepat proses pengusiran, khususnya terhadap individu yang didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah Tren de Aragua.
Mereka kemudiannya ditahan di CECOT, penjara keselamatan maksimum di El Salvador yang terkenal dengan kawalan ketat dan kapasiti besar.-REUTERS