SANTIAGO, 22 Julai - Krisis iklim, kecerdasan buatan (AI), keamanan dunia dan pembaharuan multilateralisme menjadi fokus utama dalam Sidang Kemuncak 'Democracy Forever' yang berlangsung di Istana La Moneda, Santiago, Chile.
Persidangan itu menghimpunkan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Colombia Gustavo Petro, Presiden Uruguay Yamandu Orsi, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, serta tuan rumah Presiden Chile, Gabriel Boric.
Dalam sidang media bersama, para pemimpin menyeru kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara-negara progresif bagi menentang apa yang disifatkan sebagai 'kuasa reaksioner antarabangsa' yang mengancam prinsip demokrasi dan institusi global.
Para pemimpin menekankan kepentingan memperkukuh blok progresif global demi mempertahankan demokrasi, keadilan sosial dan kelestarian alam.
Presiden Boric turut memaklumkan bahawa lebih ramai pemimpin akan menyertai acara itu, termasuk Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, Presiden Honduras Xiomara Castro dan Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer. Kesemua pemimpin itu dijangka hadir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.
Persidangan 'Democracy Forever' dilihat sebagai satu usaha menyatukan suara negara-negara demokratik progresif dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, termasuk perubahan iklim, kemajuan teknologi AI yang pesat dan ketegangan geopolitik yang berterusan.-REUTERS