DHAKA, 21 Julai – Sekurang-kurangnya 19 orang maut dan 164 lagi cedera apabila sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh terhempas ke kawasan sekolah dan kolej di Dhaka, selepas mengalami masalah teknikal sejurus berlepas.
Ramai daripada mangsa adalah pelajar yang baru sahaja selesai waktu persekolahan apabila pesawat F-7 BGI buatan China itu terhempas ke bangunan sekolah dan Kolej Milestone.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Sami Ud Dowla Chowdhury, berkata pesawat F-7 BGI itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Bangladesh di Kurmitola pada pukul 1.06 petang waktu tempatan (0706 GMT) sebagai sebahagian daripada misi latihan rutin sebelum mengalami kegagalan mekanikal.
Rakaman video insiden menunjukkan kebakaran besar berlaku berhampiran kawasan padang, dengan kepulan asap tebal ke udara. Orang ramai dilihat berkumpul dari jauh menyaksikan kejadian itu.
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan api pada serpihan pesawat yang hancur dan dipercayai merempuh sisi bangunan sekolah, merosakkan struktur besi dan meninggalkan lubang besar, menurut rakaman Reuters.
“Kumpulan mangsa pertama tiba dengan kesan melecur yang sangat serius. Kami sendiri lihat kulit mereka terkoyak,” kata seorang ahli keluarga mangsa kepada saluran Channel 24 di hospital.
Imej dari lokasi kejadian turut menunjukkan suasana panik dan hiba, dengan orang ramai menjerit, menangis dan cuba menenangkan mangsa.
Insiden ini berlaku kira-kira sebulan selepas tragedi pesawat Air India yang terhempas di atas asrama kolej perubatan di Ahmedabad, India, yang meragut 260 nyawa, sekali gus menjadikannya nahas penerbangan paling buruk dalam tempoh satu dekad.
Pihak berkuasa Bangladesh dijangka melancarkan siasatan menyeluruh terhadap punca nahas serta langkah-langkah keselamatan sedia ada berkaitan pesawat latihan tentera.-REUTERS