OSLO, 28 November - Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) memfailkan saman terhadap Norway kerana membuka dasar lautnya untuk perlombongan tanpa menjalankan kajian impak alam sekitar yang mencukupi.
Norway, yang merupakan pengeluar minyak dan gas terbesar di Eropah Barat, mungkin menjadi salah satu negara pertama yang memberi kelulusan untuk perlombongan dasar laut.
Kerajaan beralasan bahawa negara itu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada China untuk bekalan mineral penting bagi teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Walaupun perlombongan laut dalam menjadi isu kontroversi kerana potensi impaknya terhadap ekosistem marin yang terdedah, parlimen Norway telah memberi kelulusan, Januari lalu untuk membuka sebahagian dasar lautnya untuk penerokaan mineral.
"Kami percaya kerajaan melanggar undang-undang Norway dengan membuka industri baharu yang berpotensi merosakkan tanpa penilaian kesan yang mencukupi," kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Norway, Karoline Andaur dalam satu kenyataan.
Andaur menambah, "Norway perlu menghentikan proses terburu-buru ini dan menyokong secara aktif moratorium nasional dan global – larangan sementara terhadap perlombongan dasar laut sehingga pengetahuan yang mencukupi diperoleh."
WWF turut mendesak Norway untuk menghentikan sokongan awam kepada syarikat perlombongan dalam fasa penerokaan dan mengalihkan dana tersebut kepada institusi penyelidikan bebas, bagi membantu menutup banyak jurang pengetahuan mengenai kehidupan marin.
Perbicaraan dijangka akan berlangsung sehingga 5 Disember depan.-AFP