fb fb fb fb fb

Empat maut akibat salji lebat di Korea Selatan

Foto Reuters

SEOUL, 28 November – Korea Selatan berdepan dengan salji lebat untuk hari kedua pada Khamis, menyebabkan pembatalan puluhan penerbangan, penangguhan operasi feri, dan sekurang-kurangnya empat kematian akibat cuaca musim sejuk yang teruk, walaupun keadaan menunjukkan pemulihan.

Salji musim sejuk kali ini merupakan yang ketiga terbesar di Seoul sejak rekod dimulakan pada 1907, dengan lebih 40 cm salji menimbun di beberapa kawasan ibu kota pada pukul 8 pagi.

Kesan itu telah menyebabkan lebih 140 penerbangan dibatalkan, namun amaran salji lebat di kawasan metropolitan ibu kota ditarik balik pada pukul 10 pagi.

Seorang maut dan dua cedera di sebuah padang golf selepas jaring yang dibebani salji runtuh malam Rabu, manakala satu lagi kematian berlaku akibat runtuhan khemah pelindung di tempat letak kereta.

Kemalangan di lebuh raya timur ibu negara pula meragut dua nyawa, sementara 11 orang cedera dalam perlanggaran 53 kenderaan di sebuah lebuh raya di Wonju, wilayah Gangwon.

Lapangan terbang utama, Incheon, merupakan yang paling teruk terjejas, dengan kelewatan purata dua jam dan lebih 14 peratus penerbangan tertunda, serta 15 peratus dibatalkan.

Pihak berkuasa turut melaporkan 99 feri dihentikan di 76 laluan, manakala keretapi turut mengalami kelewatan.

Sekolah-sekolah di wilayah Gyeonggi dibenarkan tutup pada Khamis jika diperlukan.

Salji lebat ini dikaitkan dengan suhu air laut yang lebih panas daripada biasa di barat semenanjung Korea yang bertemu dengan arus udara sejuk.

Korea Utara turut menerima lebih 10 cm salji di beberapa kawasan antara Selasa dan Rabu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN