fb fb fb fb fb

Perdana Menteri Kanada umum berpisah dengan isteri

OTTAWA, 3 Ogos - Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semalam mengumumkan bahawa dia dan isterinya, Sophie Gregoire-Trudeau, berpisah selepas perkahwinan selama 18 tahun.

Dalam catatan di Instagram, beliau berkata "selepas banyak perbincangan bermakna dan sukar, kami telah membuat keputusan untuk berpisah".

Kenyataan dari pejabatnya memberitahu bahawa pasangan itu telah menandatangani perjanjian perpisahan yang sah.

Katanya, mereka dan tiga anak bersama kekal sebagai keluarga yang rapat dan kedua-dua ibu bapa akan terus hadir dalam kehidupan anak-anak mereka.

Mereka meminta diberi ruang privasi sebelum percutian keluarga yang dijadualkan pada minggu depan.


(Justin Trudeau dan isteri, Sophie Gregoire Trudeau pada satu
majlis rasmi di Parlimen Kanada/ REUTERS)

Trudeau dan isterinya, bekas wartawan hiburan merupakan kawan zaman kanak-kanak dan bertemu semula pada tahun 2003 pada satu majlis amal.

Mereka tidak lama kemudian mula bercinta dan berkahwin pada tahun 2005 di Montreal.

Hasil perkahwinan, mereka mempunyai tiga anak iaitu Xavier, 15, Ella Grace, 14, dan Hadrien yang berusia sembilan tahun.

Perpisahan itu yang pertama bagi seorang Perdana Menteri Kanada sejak mendiang bapa Trudeau, Pierre Trudeau, yang berpisah dengan Margaret Trudeau pada penghujung 1970-an dan akhirnya bercerai pada 1984, dalam masa beberapa bulan terakhirnya memegang jawatan. - AFP

Media Baharu