fb fb fb fb fb

Perang penyebab ekonomi dunia lembab -OECD

(Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi
(OECD), Mathias Cormann/AFP)


PARIS, 26 September- Ekonomi dunia akan menerima kesan lebih besar berbanding apa yang diramalkan sebelum ini pada tahun depan, berikutan perang Russia-Ukraine, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Dalam satu laporan bertajuk 'membayar harga tinggi kerana perang', pertubuhan yang berpangkalan di Paris itu menyatakan, konflik berkenaan memburukkan lagi tekanan inflasi apabila kos sara hidup meningkat dengan cepat.

OECD berkata, wabak COVID-19 masih memberi kesan kepada ekonomi global, manakala pertumbuhan juga terjejas oleh kenaikan kadar faedah, apabila bank pusat bertungkus lumus untuk menurunkan harga yang tinggi.

"Beberapa petunjuk berubah menjadi lebih buruk dan prospek pertumbuhan global sudah menjadi gelap," kata OECD dalam laporan itu.

Menurut laporan sama, pertumbuhan global terhenti pada suku kedua tahun ini dan data dalam banyak ekonomi 'kini menunjukkan tempoh pertumbuhan yang lemah'.


Pertubuhan itu mengurangkan unjuran pertumbuhan 2023 bagi ekonomi global kepada 2.2 peratus, turun daripada 2.8 peratus dalam anggaran sebelumnya pada Jun lalu.

Prospek bagi hampir semua negara dalam kumpulan 20 ekonomi teratas dikurangkan, kecuali Turkiye, Indonesia dan Britain, walaupun negara itu diramalkan mempunyai pertumbuhan sifar.

Pertumbuhan di Amerika Syarikat (AS), ekonomi terbesar dunia, diramalkan perlahan kepada 0.5 peratus pada 2023.

(Ekonomi dunia akan menerima kesan lebih besar berbanding apa yang diramalkan sebelum ini pada tahun depan,
berikutan perang Russia-Ukraine, kata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)FOTO HIASAN AFP)

Ramalan pertumbuhan untuk China, di mana ekonominya terjejas akibat sekatan COVID-19 yang ketat, dikurangkan secara mendadak bagi tahun ini kepada 3.2 peratus, manakala lebih rendah sedikit kepada 4.7 peratus bagi 2023.

Jerman dijangka mengalami kemelesetan tahun depan, dengan ekonomi terbesar Eropah itu kini dilihat menyusut sebanyak 0.7 peratus, penurunan 2.4 mata peratusan berbanding ramalan sebelumnya.

Ekonomi negara itu paling teruk terjejas di Eropah kerana ia banyak bergantung kepada bekalan gas asli Russia, yang disekat dengan ketara oleh Moscow, dipercayai sebagai tindakan balas terhadap sekatan Barat. - AFP

Media Baharu