fb fb fb fb fb

Perang Gaza-Israel, angka korban cecah lebih 70,000 orang

Foto AFP

GAZA CITY, 29 November- Lebih 70,000 penduduk Gaza terbunuh sejak perang antara Israel dan Hamas meletus lebih dua tahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas pada Sabtu.

Angka terbaharu itu diumumkan ketika gencatan senjata rapuh yang ditaja Amerika Syarikat (AS) dilaporkan kekal sebahagian besarnya, meskipun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan jumlah korban meningkat kepada 70,100 orang.

Sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 10 Oktober, 354 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan Israel.

Kementerian turut memaklumkan dua mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 48 jam lalu termasuk satu yang ditemukan di bawah runtuhan.

Ia menjelaskan peningkatan ketara jumlah korban sejak laporan terakhir disebabkan data melibatkan 299 mayat telah diproses dan disahkan pihak berkuasa.

Walaupun gencatan senjata masih berjalan, wilayah Palestin itu kekal bergelut dengan krisis kemanusiaan yang mendalam. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM