fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan roboh bangunan dikaitkan dengan Sheikh Hasina

Penunjuk perasaan membakar kediaman Dhanmondi-32 milik Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, bapa kepada bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, di Dhaka / Foto AFP

DHAKA, 6 Februari-Ratusan penunjuk perasaan di Bangladesh merobohkan bangunan yang dikaitkan dengan bekas pemimpin digulingkan, Sheikh Hasina, pada Khamis.

Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas para penunjuk perasaan menggunakan jentolak untuk meruntuhkan sebuah muzium yang didedikasikan kepada bapa Hasina.

Muzium yang dahulunya merupakan kediaman bapa Hasina, Sheikh Mujibur Rahman, telah dibakar tahun lalu ketika revolusi yang diketuai pelajar, sekali gus menamatkan pemerintahan Hasina yang berusia 15 tahun.

Pada Rabu, orang ramai dilaporkan membawa tukul besi dan batang logam mula meruntuhkan dinding bangunan tersebut.

Protes tercetus selepas terdapat laporan mendakwa Hasina bakal muncul dalam satu siaran langsung di Facebook dari lokasi Hasina melarikan diri di India.

Pada Khamis, jentolak digunakan untuk merobohkan baki dinding bangunan yang hangus akibat kebakaran.

Penunjuk perasaan turut merosakkan dan membakar beberapa buah rumah lain di seluruh negara yang dikaitkan dengan Hasina, termasuk satu pembakaran ke atas rumah mendiang suaminya di Dhaka.

Sebuah akhbar harian, Prothom Alo melaporkan, orang ramai menggunakan jentolak milik kerajaan untuk meruntuhkan sebuah bangunan milik keluarga Hasina di bandar Khulna.

Sementara itu, di bandar Kushtia, penunjuk perasaan merosakkan rumah seorang pemimpin parti Awami League pimpinan Hasina, Mahbubul Alam Hanif.

Di Chittagong pula, penunjuk perasaan mengadakan perarakan obor dan menghancurkan mural Sheikh Mujibur Rahman.

Setakat ini, tiada komen rasmi daripada kerajaan sementara mengenai gelombang serangan ini, dan pasukan keselamatan tidak campur tangan ketika penunjuk perasaan menyerbu bangunan tersebut.

Seorang pengawal keselamatan persendirian di kawasan kejadian berkata dia telah menghubungi perkhidmatan bomba beberapa kali kerana bimbang kebakaran akan merebak ke bangunan berdekatan yang dihuni keluarga.

"Kami sendiri yang memutuskan bekalan elektrik," kata Jamal Uddin.

"Saya tidak tahu bila keadaan akan kembali normal", katanya.

Dalam pada itu,seorang peniaga yang tinggal berhampiran bekas rumah bapa Hasina, menyatakan kebimbangannya terhadap kekacauan yang berlaku.

"Vandalisme ini bukan petanda baik," katanya, meminta agar tidak dinamakan kerana takut akan tindakan balas akibat bersuara.

Sejak Ogos 2024, Bangladesh diperintah kerajaan sementara diketuai penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus. -AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD