fb fb fb fb fb

Iran kecam rancangan ambil alih Gaza dan pemindahan paksa penduduk

Foto REUTERS

TEHRAN, 6 Februari-Kementerian Luar Iran pada Khamis menolak rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza dan “memaksa pemindahan” penduduk Palestin dari wilayah itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

“Rancangan untuk mengosongkan Gaza dan memaksa pemindahan rakyat Palestin ke negara jiran dianggap sebagai kesinambungan rancangan rejim Zionis (Israel) untuk menghapuskan bangsa Palestin secara menyeluruh, dan ia ditolak serta dikutuk sekeras-kerasnya,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran,Esmaeil Baqaei.

Trump pada Selasa mengisytiharkan, Amerika Syarikat akan mengambil alih Gaza dan merancang untuk membangunkan semula wilayah yang musnah akibat konflik Israel-Hamas.

Bercakap di samping Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump turut menyebut tentang rancangan untuk “memindahkan penduduk Palestin dari Gaza secara kekal.”

Rancangan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan kerajaan Arab dan pemimpin dunia, dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku "pembersihan etnik" di wilayah Palestin itu.

Pentadbiran Trump kelihatan menarik balik kenyataan presidennya pada Rabu, dengan diplomat tertinggi Washington menyatakan bahawa sebarang pemindahan penduduk Gaza hanyalah bersifat sementara.

Baqaei menyifatkan rancangan Trump sebagai satu serangan yang belum pernah terjadi terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan membebaskan mereka daripada penjajahan dan apartheid.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD