fb fb fb fb fb

Pengundi Simpang Jeram mahu pemimpin boleh buat kerja, senang jumpa

(Calon PH, Ir. Nazri Abdul Rahman beramah mesra bersama pengundi Cina di sebuah kedai makan/FOTO FB Nazri)

MUAR, 1 September - Pengundi di Dewan Negeri N13 Simpang Jeram berharap wakil rakyat yang mewakili kawasan itu akan terus memberikan khidmat mereka selepas dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor pada 9 September ini.

Rata-rata pengundi yang ditemui RTM menyuarakan mahu pemimpin yang bukan sekadar boleh menunaikan amanah dan tanggungjawab, malah senang untuk didampingi rakyat.

Peniaga, Saifuddin Idris, 32, berkata dia sebagai anak muda memilih wakil rakyat yang boleh menggalas kerja dengan baik.

“Janji nak jumpa senang, kalau nak minta bantuan pun senang, bukan nak apa sangat pun, apa yang penting, pemimpin ada ketika rakyat memerlukan bantuan. Rakyat ada masalah, nak jumpa pun senang,” katanya kepada RTM ketika sedang berniaga Apam Balik di pasar malam Sungai Abong di sini.

Siti Aishah Azhar, 38, yang juga merupakan seorang peniaga pasar malam berharap wakil rakyat turun padang dan tidak melupakan pengundi apabila sudah memenangi kerusi DUN Simpang Jeram.

“Saya berniaga sepenuh masa dan berharap pemimpin boleh buat kerja, membantu peniaga kecil seperti kami mengurangkan kos sara hidup. Sekarang harga barang makin naik, jadi kami peniaga pasar malam secara kecil-kecilan ini memang rasa terjejas,.

“Dengar apa rintihan rakyat di bawah ni, jangan bila sudah berada di atas, lupa orang bawahan (pengundi), tanpa pengundi siapalah mereka” katanya yang perlu menampung dua orang anaknya yang masih bersekolah.


(Calon PN,  Dr Mazri Yahya beramah mesra bersama peniaga di Pasar Malam Sungai Abong/FOTO FB Dr Mazri)

Sementara itu, pengundi Cina di kawasan Simpang Jeram pula mahu pemimpin seperti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meski agak sukar untuk menemuinya namun mereka berpendapat Allahyarham menjaga kawasan itu dengan baik.

“Pilihan (pemimpin) yang kita nak adalah boleh buat kerja contohnya ada tanggungjawab sebagai pemimpin. Apa-apa hal boleh jumpa dan bincang. Salahuddin susah nak jumpa tapi dia ada buat kerja,” kata Chia Song Heng, 50, yang telah menetap di Simpang Jeram sejak 1993.

“Kita mahu undi dan tengok siapa yang boleh buat kerja. Itu yang kita suka. Walaupun baru kenal, apa yang penting boleh buat kerja. Misalnya, kalau ada hal boleh cari dan dia (wakil rakyat) boleh tolong,” kata Tow Shen Hien, 65, yang bermastautin selama 20 tahun di Simpang Jeram.

“Saya mahu saya punya tempat ini dijaga dengan baik-baik. Kerosakan jalan mahu dibaiki, kalau jalan rosak, kereta pun akan rosaklah,” kata Tan Keh Yong, 68 tahun.

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Dalam pilihan raya negeri pada 20 Januari tahun lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Simpang Jeram dengan kelebihan 2,399 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Ir. Nazri Abdul Rahman berdepan saingan tiga penjuru iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan juga ahli perniagaan S.Jeganathan selaku calon bebas.

Pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Simpang Jeram, diikuti dengan Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).

SPR menetapkan 9 September depan sebagai Hari Mengundi bagi kedua-dua kawasan itu.

Media Baharu