fb fb fb fb fb

Pengguna AI generatif di China mencecah 515 juta - Laporan

Robot humanoid Digit dipamerkan di Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) di Pusat Expo dan Konvensyen Dunia Shanghai, 29 Julai 2025/AFP

BEIJING, 18 Oktober- China merekodkan 515 juta pengguna kecerdasan buatan (AI) generatif setakat Jun 2025 dengan jumlah pengguna meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan, lapor Xinhua memetik laporan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Angka itu meningkat sebanyak 266 juta berbanding Disember 2024 menjadikan kadar pengguna AI generatif di China kini mencecah 36.5 peratus, menurut laporan yang diterbitkanoleh Pusat Maklumat Rangkaian Internet China (CNNIC).

Laporan itu menyatakan bahawa model AI generatif keluaran tempatan semakin mendapat sambutan meluas dalam kalangan pengguna di China dan teknologi itu kini digunakan secara meluas dalam bidang carian pintar, penciptaan kandungan, bantuan pejabat serta peranti pintar.

Kegunaannya juga sedang diteroka secara aktif dalam sektor seperti pengeluaran pertanian, pembuatan industri dan penyelidikan saintifik, menurut laporan berkenaan.

Laporan itu dibentangkan pada Persidangan Sumber Infrastruktur Internet China 2025 yang berlangsung di Beijing pada Sabtu. -BERNAMA-XINHUA

SITI AISHAH BINTI MD ISA