fb fb fb fb fb

Israel langgar gencatan senjata, sembilan beranak dibunuh di Gaza

Penduduk Palestin berkabung di Hospital Al-Ahli, Gaza selepas agensi pertahanan awam Gaza melaporkan tentera Israel menembak sebuah bas, meragut sembilan ahli keluarga pada Jumaat/ AFP

GAZA CITY, 18 Oktober- Rejim Zionis Israel sekali lagi mencabuli gencatan senjata apabila menembak sebuah bas yang dinaiki satu keluarga Palestin yang dalam perjalanan pulang untuk meninjau kediaman mereka di timur Gaza hingga meragut sembilan nyawa.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, insiden itu berlaku semalam di kawasan kejiranan Zeitun ketika mangsa dalam perjalanan melihat keadaan rumah mereka yang musnah akibat pengeboman terdahulu.

"Pasukan pertahanan awam berjaya mengeluarkan sembilan jenazah selepas kenderaan yang membawa penduduk dipintas dan ditembak tentera penceroboh Israel.

"Kesemua mangsa adalah ahli keluarga Abu Shabaan," katanya kepada AFP.

Mangsa dilaporkan termasuk wanita dan warga emas yang sebelum ini berlindung di kawasan lain selepas pemusnahan besar-besaran di utara Gaza.

Walaupun berada dalam tempoh gencatan senjata, tentera Israel mendakwa kenderaan tersebut "melintasi garisan kuning" iaitu sempadan yang diwujudkan secara unilateral oleh rejim itu.

Tindakan itu mengundang kecaman penduduk Gaza dan kumpulan hak asasi yang menyifatkan Israel terus bertindak sewenang-wenangnya dengan alasan keselamatan walaupun orang awam sekadar kembali untuk memeriksa rumah masing-masing.

Sejak gencatan senjata bermula dua minggu lalu, penduduk Palestin berduyun-duyun pulang ke kawasan utara Gaza untuk mencari kediaman, namun kebanyakan tidak lagi mengenali lokasi rumah mereka akibat kemusnahan meluas.

Ramai ditemui berkata mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah tiada panduan untuk mengenal pasti kawasan asal kerana seluruh kejiranan telah ditimbus runtuhan dan puing bangunan.

Walaupun masyarakat antarabangsa mendesak rejim Israel mematuhi gencatan senjata, laporan demi laporan menunjukkan Israel masih melakukan serangan terhadap orang awam, menghalang bantuan serta menggunakan taktik ugutan bagi menguasai wilayah Palestin. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA