fb fb fb fb fb

Israel pulang 15 lagi jenazah rakyat Palestin ke Gaza

(Foto fail) Kakitangan Hospital Nasser di Khan Yunis membawa sebahagian daripada 30 jenazah warga Palestin yang dipulangkan Israel pada Khamis lalu/ Reuters

GAZA CITY, 18 Oktober- Rejim Zionis Israel memulangkan 15 lagi jenazah rakyat Palestin ke Gaza hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang diserahkan setakat ini mencecah 135 orang.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sebahagian daripada jenazah itu menunjukkan tanda-tanda jelas penyeksaan termasuk kesan "pencabulan, pukulan, gari dan mata ditutup."

Keadaan itu serupa dengan jenazah dalam kumpulan terdahulu yang turut dipulangkan di bawah perjanjian sama, tegas kementerian berkenaan.

Pemulangan tersebut dibuat di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai melalui pengantara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menetapkan Israel perlu menyerahkan 15 jenazah rakyat Palestin bagi setiap warga Israel yang dipulangkan.

Lewat Jumaat, Hamas menyerahkan satu lagi mayat tebusan Israel.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, Hamas telah menyerahkan sembilan jenazah warga Israel dan seorang pelajar Nepal.

Israel terus dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi dan pertubuhan antarabangsa kerana layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan serta jenazah rakyat Palestin termasuk amalan menahan mayat sebagai tekanan politik. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA