fb fb fb fb fb

Pengasas aplikasi Telegram ditahan di Perancis

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov/Foto REUTERS

PARIS, 25 Ogos-Jutawan, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi pesanan Telegram, Pavel Durov telah ditahan di Lapangan Terbang Bourget di luar Paris pada petang Sabtu, kata TF1 dan BFM TV memetik satu sumber yang tidak dinamakan.

Durov berkata dia telah menjadi sasaran dengan waran tangkap di Perancis sebagai sebahagian siasatan polis.

TF1 dan BFM melaporkan bahawa siasatan tertumpu kepada kekurangan moderator di Telegram, dan polis menganggap bahawa situasi berkenaan telah membenarkan aktiviti jenayah berlaku tanpa kawalan di aplikasi berkenaan.

TF1 melaporkan bahawa Durov sedang dalam perjalanan dari Azerbaijan dan ditahan sekitar pukul 20:00 (Waktu Tempatan). Durov, berkata beberapa pihak telah berusaha untuk menekannya, tetapi aplikasi tersebut, yang kini mempunyai 900 juta pengguna aktif, seharusnya kekal sebagai "platform neutral" dan bukannya "pemain dalam geopolitik".

Kedutaan Rusia di Perancis memberitahu agensi berita negara Rusia TASS bahawa pihaknya tidak dihubungi oleh pasukan Durov selepas laporan mengenai penahanan tersebut, tetapi pihaknya mengambil langkah "segera" untuk menjelaskan situasi tersebut.

Wakil Rusia ke organisasi antarabangsa di Vienna, Mikhail Ulyanov, dan beberapa ahli politik Rusia lain dengan pantas menuduh Perancis bertindak seperti diktator.

"Sesetengah orang yang naif masih tidak memahami bahawa jika mereka memainkan peranan yang lebih atau kurang kelihatan dalam ruang maklumat antarabangsa, ia tidak selamat bagi mereka untuk melawat negara-negara yang bergerak ke arah masyarakat yang lebih totalitarian," tulis Ulyanov di X.

Beberapa blogger Rusia menyeru agar diadakan protes di kedutaan Perancis di seluruh dunia pada Ahad.

Aplikasi Telegram mempunyai pengaruh besar di Rusia, Ukraine dan bekas Negara-Negara Kesatuan Soviet diletakkan sebagai salah satu platform media sosial utama selepas Facebook, WhatsApp,Instagram,TikTok dan Wechat.

Aplikasi berkenaan menyasarkan seramai 1 bilion pengguna tahun depan.

Berpusat di Dubai, Telegram diasaskan oleh Durov pada 2014 selepas dia enggan menuruti kehendak kerajaan Rusia yang mahukannya agar menutup platform media sosialnya, VK sosial yang kemudian telah dijualnya.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD