fb fb fb fb fb

Asap tebal di Sao Paolo, jejas aktiviti luar

Keadaan di bandar Dumon, Brazil/ REUTERS

SAO PAULO, 25 Ogos- Kebakaran merebak melalui ladang tebu di utara negeri Sao Paulo pada Sabtu sekali gus mencetuskan kepulan asap menutupi bandar berhampiran hingga kerajaan terpaksa mengeluarkan amaran supaya membatalkan aktiviti di luar rumah.

Ia termasuk satu perlawanan bola sepak kejuaraan Brazil dibatalkan kerana larangan dikeluarkan di Ribeirão Preto, sebuah bandar di wilayah barat negeri São Paulo.

Beberapa lebuh raya negeri turut ditutup berikutan menjejaskan jarak penglihatan.

Sementara itu televisyen tempatan turut menyiarkan haiwan ternakan yang mati akibat terhidu asap selain haba yang panas.

"Anggota bomba tidak dapat mengawal api. Kami tidak boleh berbuat apa-apa," kata petani Silvio Dantas, 56, kepada Reuters. Ladangnya dilitupi asap yang mula memenuhi ruang langit.

"Kebakaran itu memusnahkan tumbuhan, rumah dan membunuh haiwan ternakan. Keadaan ini sangat sukar," katanya.

Bagaimanapun kerajaan São Paulo berkata, 36 bandar berada dalam keadaan "berjaga-jaga peringkat tinggi" berikutan kebakaran yang merebak pada kemuncak musim kemarau. Ia lebih mudah terbakar berikutan ladang kering dan suhu tinggi.

"Kami menyewa pesawat untuk menyembur air sebagai tambahan kepada pesawat bomba," kata Gabenor São Paulo, Tarcisio de Freitas, yang menubuhkan pasukan petugas kecemasan untuk menangani situasi itu.

Pada Jumaat, di Urupes, berhampiran Ribeirão Preto, dua anggota bomba maut ketika cuba memadamkan api di kilang gula. Ladang tebu berkeluasan 200 hektar itu turut musnah.

Raizen, pemproses tebu terbesar di dunia, berkata operasi di salah satu kilangnya di Sertaozinho telah dihentikan sejak Khamis berikutan kebakaran di ladang tebu.

Di São Paulo, 350 kilometer ke selatan, bandar terbesar di Brazil, asap memenuhi langit pada hari Jumaat, namun ia semakin berkurang pada Sabtu.

Kemuncak musim kebakaran Brazil berlaku pada Ogos dan September. Namun tahun ini kebakaran bermula lebih awal di Pantanal.

Manakala data kerajaan menunjukkan jumlah kebakaran di hutan hujan Amazon melonjak ke paras tertinggi selama dua dekad untuk bulan Julai.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI