GAZA, 28 Mei- Sekumpulan besar penduduk kelaparan diambang kebuluran cuba mendapatkan bantuan di sebuah gudang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza untuk mendapatkan bantuan dan makanan.
Ketika ini bantuan kemanusiaan yang disalurkan ke Gaza adalah terhad selain sekatan pelbagai alasan diberikan rejim Zionis Israel supaya bantuan tidak dapat disalurkan ke kawasan terjejas.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), laporan awal memaklumkan dua individu terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam insiden yang berlaku di gudang di Gaza tengah.
Agensi PBB itu merayu agar bantuan makanan segera ditingkatkan bagi memberi jaminan kepada rakyat bahawa mereka tidak akan dibiarkan kelaparan.
Sebelum ini Israel menyekat kemasukan bantuan selama 11 minggu mula membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza sejak 10 hari lalu, namun dalam jumlah yang sangat terhad melalui dua saluran – PBB dan Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat.
Utusan Khas PBB ke Asia Barat, Sigrid Kaag, dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB, menyatakan bahawa jumlah bantuan yang dibenarkan Israel kepada PBB setakat ini adalah "seumpama bot penyelamat selepas kapal karam," sedangkan seluruh penduduk Gaza kini berdepan risiko kebuluran.
Dalam usaha menamatkan konflik, Amerika Syarikat dilaporkan sedang berusaha memuktamadkan syarat baharu bagi satu kemungkinan gencatan senjata.
"Kami berada pada fasa untuk mengemukakan draf syarat baharu yang dijangka akan dihantar hari ini. Presiden akan menelitinya," kata Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, peperangan yang dicetuskan rejim Zionis Israel, pada 7 Oktober 2023, lebih 53,000 maut akibat serangan yang dilakukan.- REUTERS