KATHMANDU, 29 September - Penduduk di kawasan rendah Kathmandu pulang ke rumah yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat yang melanda ibu negara Nepal pada hujung minggu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 104 orang.
Menurut laporan, hujan lebat yang turun sejak Jumaat menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh, mengakibatkan kerosakan teruk di lebuh raya yang menghubungkan Kathmandu dengan kawasan lain di Nepal.
Sungai Bagmati serta anak-anak sungainya melimpah keluar dan menenggelamkan rumah dan kenderaan berhampiran.
Penduduk, Kumar Tamang, yang tinggal di kawasan setinggan di tebing sungai, berkata dia dan keluarganya terpaksa melarikan diri selepas air memasuki rumah mereka pada lewat malam Sabtu. "Kami tidak dapat membuka pintu kerana tersekat dengan lumpur," katanya.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal, Rishi Ram Tiwari memaklumkan lebih 3,000 orang telah diselamatkan setakat ini.
Sementara itu, lebih 14 mangsa yang terbunuh ditemui di dalam dua bas yang tertimbus dalam runtuhan di selatan Kathmandu, menurut Ketua Daerah Dhading, Rajendra Dev Pandey.
Biro cuaca Nepal melaporkan hujan sebanyak 240 milimeter dalam tempoh 24 jam hingga pagi Sabtu, yang merupakan rekod tertinggi sejak 1970.
Akibatnya, beberapa laluan penerbangan domestik terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula pada Ahad.
Monsoon di Asia Selatan yang berlangsung dari Jun hingga September menyumbang 70-80 peratus hujan tahunan di rantau ini.
Namun, pakar berpendapat perubahan iklim semakin memburukkan kejadian banjir dan tanah runtuh yang membawa maut di rantau tersebut.
Setakat ini, lebih 260 orang dilaporkan mati dalam bencana berkaitan hujan di Nepal tahun ini.-AFP