fb fb fb fb fb

Pemotongan bantuan jejas kemajuan vaksinasi kanak-kanak

Foto AFP

GENEVA, 15 Julai - Tahap vaksinasi bayi di seluruh dunia menunjukkan pemulihan selepas mengalami kemerosotan semasa krisis Covid-19, namun Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penyebaran maklumat palsu dan pemotongan bantuan antarabangsa yang mendadak terus mengancam kemajuan tersebut.

Menurut data terkini dikeluarkan agensi kesihatan dan kanak-kanak PBB, sebanyak 85 peratus bayi di seluruh dunia, bersamaan 109 juta kanak-kanak, telah menerima tiga dos vaksin DTP (difteria, tetanus dan batuk kokol) pada tahun 2024.

Dos ketiga vaksin tersebut dianggap sebagai penanda aras utama bagi liputan imunisasi global.

Peningkatan ini mencatatkan pertambahan satu peratus berbanding tahun sebelumnya, menyaksikan seramai satu juta kanak-kanak berjaya diberikan perlindungan vaksin.

Hampir 20 juta bayi dilaporkan tidak menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin DTP pada tahun lalu, termasuk kira-kira 14.3 juta kanak-kanak tiada dos, iaitu golongan yang langsung tidak pernah menerima sebarang vaksinasi asas.

Meskipun angka tersebut menunjukkan sedikit penurunan berbanding 14.5 juta kanak-kanak tiada dos yang direkodkan pada tahun 2023, jumlah itu masih 1.4 juta lebih tinggi berbanding tahun 2019.-AFP

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI