GAZA, 15 Julai - Jumlah kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 58,386 orang, dengan 139,077 lagi cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel meletus pada Oktober 2023, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Isnin.
Dalam tempoh 24 jam lalu, operasi ketenteraan Zionis di wilayah itu telah meragut 120 nyawa dan mencederakan 557 orang, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan, menurut kenyataan tersebut.
Pada hari yang sama, serangan kejam oleh Israel terhadap kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, menyasarkan sebuah kenderaan yang sedang mengagihkan air minuman. Serangan itu mengorbankan seorang individu dan mencederakan empat yang lain.
Satu laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan Gaza mendedahkan bahawa Zionis telah menahan sekurang-kurangnya 360 petugas perubatan sejak Oktober 2023.
Ramai dalam kalangan yang ditahan, termasuk doktor, kini dilaporkan berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
Keadaan ini menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin yang cedera dan sakit tidak mendapat akses kepada rawatan perubatan penting, sekali gus memperburuk krisis kesihatan.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera, menyeru agar penahanan petugas perubatan oleh Israel diklasifikasikan sebagai jenayah dan menuntut pembebasan mereka. Mereka turut menekankan keperluan untuk tekanan global bagi menangani krisis ini dan memastikan keadilan ditegakkan.
Sejak Oktober 2023, operasi ketenteraan Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 petugas perubatan, menurut pihak berkuasa kesihatan, menggambarkan kesan yang sangat merosakkan terhadap perkhidmatan kesihatan di wilayah tersebut. - REUTERS