fb fb fb fb fb

Pembunuhan 15 petugas perubatan dan kemanusiaan: PBB seru siasatan segera

Orang ramai berkabung semasa pengebumian mangsa yang terkorban dalam pengeboman Israel pada waktu malam di Bandar Gaza, di Hospital Ahli Arab. / Foto AFP

GAZA, 4 April-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan berhubung serangan Israel terhadap sebuah ambulans yang mengorbankan 15 petugas perubatan dan bantuan kemanusiaan baru-baru ini.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk pada Khamis.

Menurut Turk, serangan terbaharu berkenaan menimbulkan keresahan mengenai kemungkinan berlakunya jenayah perang oleh tentera Israel,

Turk menyeru satu "siasatan bebas, segera, dan menyeluruh" terhadap insiden 23 Mac lepas yang didakwa oleh pegawai Israel sebagai serangan terhadap "pengganas."

Turk turut mengecam Israel kerana menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan selama sebulan dan meneruskan operasi ketenteraan, dengan menyatakan bahawa sekatan dan kepungan di Gaza" serta penderitaan rakyat awam merupakan satu bentuk hukuman kolektif."

Tindakan berkenaan juga boleh dianggap sebagai penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan, katanya.

Dalam pada masa sama,Turk juga menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan berunsur hasutan oleh pegawai kanan Israel mengenai perampasan, pembahagian, dan kawalan ke atas Gaza.

"Semua ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai jenayah antarabangsa yang sedang berlaku dan bercanggah dengan prinsip asas undang-undang antarabangsa mengenai pemerolehan wilayah melalui kekerasan," katanya.

Mayat 15 penyelamat dan pekerja kemanusiaan, termasuk lapan dari Bulan Sabit Merah Palestin dan seorang daripada PBB, ditemui berhampiran Rafah yang disifatkan oleh Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) sebagai "kubur besar-besaran."

OCHA pada Selasa memaklumkan bahawa pasukan pertama telah dibunuh oleh tentera Israel pada 23 Mac, dan pasukan kecemasan serta bantuan lain turut diserang satu demi satu selama beberapa jam ketika mencari rakan sekerja mereka yang hilang.

Ini merupakan "salah satu detik paling gelap dalam konflik ini yang menggoncang kemanusiaan kita secara keseluruhan," kata Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Younes Al-Khatib, di hadapan Majlis Keselamatan PBB pada Khamis.

"Roh Mostafa, Ezzedine, Saleh, Riffat, Mohammad Bahloul, Mohammed al-Heila, Ashraf dan Raed menuntut keadilan. Bolehkah anda mendengar mereka?" tanyanya, sambil menuntut jawapan mengenai nasib seorang lagi anggota pasukan yang masih hilang.

"Perlu diperhatikan bahawa semasa komunikasi dengan pasukan tersebut, pihak penyelaras dapat mendengar perbualan dalam bahasa Ibrani antara tentera Israel dan pasukan tersebut, yang bermaksud ada di antara mereka yang masih hidup ketika berada dalam kawalan tentera Israel," kata Al-Khatib.

Sementara itu,tentera Israel menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat insiden 23 Mac itu sambil mendakwa bahawa askar mereka telah menembak pengganas.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD