(Foto AFP)
CHERNIHIV, 2O Ogos- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan peluru berpandu Rusia terhadap bandar Chernihiv di utara Ukraine.
Serangan yang berlaku pada waktu pagi itu, menyebabkan tujuh orang maut dan lebih 100 orang mengalami kecederaan.
Penyelaras Misi Bantuan Kemanusiaan PBB di Ukraine, Denise Brown menyifatkan serangan terhadap bandar besar yang mempunyai ramai penduduk itu, sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
(Kesan serangan peluru berpandu Rusia di Chernihiv/AFP)
Tegasnya, serangan ketenteraan ke atas orang awam dilarang sama sekali di bawah Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
“Perbuatan keji menyerang dataran utama sebuah bandar besar, pada waktu pagi, ketika orang ramai keluar berjalan, ada yang menghadiri acara keagamaan", katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay berkata dia "terkejut" dengan insiden serangan tersebut dalam satu catatan di media sosial.
Bandar tersebut sebelum ini selamat kerana tidak menjadi tumpuan serangan dalam operasi ketenteraan yang dilaksanakan Moscow terhadap Kiev.
Chernihiv merupakan sebuah bandar bersejarah yang tersenarai untuk pencalonan ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).-AFP