fb fb fb fb fb

PBB gesa pemimpin G20 bincang dana iklim

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres / AFP

RIO DE JANEIRO, 18 November- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru pemimpin G20 yang kini bersidang di Rio de Janeiro untuk berbincang mengenai pendanaan iklim, selepas rundingan tahunan PBB di Baku, Azerbaijan menemui jalan buntu, selepas seminggu acara diadakan.

"Kejayaan COP29 masih boleh dicapai, tetapi ia memerlukan kepimpinan dan kompromi, khususnya daripada negara-negara G20," kata Guterres dalam sidang akhbar di Rio De Janeiro.

Rundingan tahunan PBB di Baku tertangguh apabila negara-negara peserta tidak bersetuju dengan perjanjian bernilai AS$1 trilion untuk pelaburan iklim di negara membangun.

Perbincangan itu terhenti disebabkan perbezaan pendapat mengenai jumlah akhir, jenis pembiayaan dan pihak yang bertanggungjawab yang harus membayar. Negara-negara barat mendesak China dan negara-negara Teluk yang kaya untuk turut menyertai senarai penyumbang.

Usaha menjayakan matlamat itu memerlukan peranan daripada G20. Perhatian kini kepada Rio dengan harapan tercapainya satu kejayaan.

"Tumpuan adalah kepada G20. Mereka menyumbang 80 peratus daripada pelepasan global," kata Guterres, menyeru kumpulan itu untuk memimpin melalui teladan.

Perubahan iklim adalah isu yang dikemukakan oleh beberapa pemimpin ketika mereka berhimpun di Rio.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata mengenai AS$11 bilion pembiayaan iklim dua hala yang telah diperuntukkan oleh pentadbirannya tahun ini.

Ketua Kesatuan Eropah Ursula Von Der Leyen dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa di Rio bersama-sama melancarkan kempen untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui di Afrika.

"Menggandakan tenaga boleh diperbaharui secara global sehingga 2030 bermakna pengurangan 10 bilion tan pelepasan CO2," katanya.

Beliau berkata EU sedang meningkatkan pelaburan di seluruh dunia untuk pembinaan infrastruktur boleh diperbaharui, khususnya di Afrika melalui program Global Gateway blok itu yang direka untuk menyaingi Inisiatif Jalur dan Jalan China.

Kesatuan Eropah ialah penyumbang terbesar dunia untuk pembiayaan iklim, yang kebanyakannya melalui dana pelbagai hala.

Sementara itu, Presiden China Xi Jinping yang negaranya merupakan pencemar terbesar menyeru agar G20 meningkatkan kerjasama antarabangsa menentang perubahan iklim.-AFP

.

ROSLINA BINTI DIN