NEW YORK, 18 November- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) akan membincangkan draf resolusi yang menyeru penamatan segera konflik di Sudan yang masih berlanjutan, tanpa menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
Draf teks yang disediakan oleh Britain dan Sierra Leone, menggesa pihak-pihak yang bertelagah untuk segera menghentikan permusuhan dan terlibat secara aman dalam dialog bagi mencapai persetujuan mengenai langkah-langkah mengurangkan konflik ke arah gencatan senjata nasional dengan segera.
Sejak April 2023, Sudan telah dilanda konflik melibatkan Tentera Sudan yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, yang merampas kuasa pada 2021 dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang dipimpin oleh bekas timbalannya, Jeneral Mohamed Hamdan Daglo.
Konflik ini telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa lebih 11 juta orang meninggalkan kediaman mereka, termasuk 3.1 juta yang melarikan diri ke luar negara, menurut angka PBB.
"Beberapa minggu kebelakangan ini, keganasan semakin memuncak, dengan kedua-dua pihak dilihat yakin bahawa mereka boleh menang di medan perang," kata Rosemary DiCarlo, Timbalan Setiausaha Agung PBB untuk hal ehwal politik.
Konflik ini memberi kesan besar kepada orang awam, dengan kira-kira 26 juta orang menghadapi kekurangan makanan dan kedua-dua pihak saling menuduh berlakunya keganasan seksual.
Kandungan resolusi:
Draf resolusi menggesa kedua-dua pihak untuk melaksanakan sepenuhnya komitmen yang dibuat pada 2023 untuk melindungi orang awam, menghentikan dan mencegah keganasan seksual berkaitan konflik, serta membenarkan akses bantuan kemanusiaan yang cepat, selamat, tanpa halangan ke seluruh Sudan.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy, yang akan mengetuai sesi hari Isnin, berjanji untuk menekankan resolusi yang memastikan perlindungan orang awam dan penghantaran bantuan tanpa sekatan.
Resolusi itu juga menyeru negara anggota untuk mengelakkan campur tangan luar yang menyemarakkan konflik dan ketidakstabilan serta menghormati larangan terhadap pemindahan senjata ke Darfur.
Draf itu turut meminta Setiausaha Agung PBB António Guterres mempertimbangkan sistem untuk pemantauan dan pengesahan terhadap gencatan senjata pada masa hadapan, walaupun Guterres sendiri menyatakan bahawa pada masa ini, syarat untuk penempatan pasukan PBB untuk melindungi orang awam di Sudan belum wujud.- AFP