fb fb fb fb fb

Pasukan pertama petugas Tabung Haji selamat tiba di Madinah

Pasukan pertama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) musim 1446H/2025M selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, di sini kira-kira 8.10 malam waktu tempatan/Foto BERNAMA

MADINAH, 25 April - Pasukan pertama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) musim 1446H/2025M selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, di sini kira-kira 8.10 malam semalam (waktu tempatan).

Pasukan terdiri daripada 74 individu termasuk pengamal media, petugas kebajikan dan petugas teknologi maklumat itu dibawa ke tempat penginapan terletak di Roha Al-Madinah.

Petugas haji berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan 632 petugas yang digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula semalam bagi membuat persiapan awal operasi haji pada musim ini.

Turut dibawa stok makanan bahan kering termasuk kicap, bihun, belacan dan sos cili bagi kegunaan tukang masak di sini menyediakan hidangan dengan citarasa Malaysia kepada petugas sepanjang berada di tanah suci.

TH menempatkan petugas haji di tanah suci secara menyeluruh merangkumi pelbagai sektor termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan sebagainya.

Terdapat dua kumpulan petugas utama bagi musim haji tahun ini iaitu 358 Petugas Rombongan Kebajikan dan 274 Petugas Rombongan Perubatan.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci dijadualkan bermula 29 April manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun depan, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Khamis, 5 Jun ini. - BERNAMA 

GRACE AISYAH KEDAYAN