fb fb fb fb fb

Parti Demokrat AS gesa gencatan senjata di Gaza selepas mayat tebusan ditemui

Penduduk Palestin duduk di tengah-tengah runtuhan bangunan yang musnah selepas serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza 1 September 2024/ REUTERS

WASHINGTON, 2 September- Beberapa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat memperbaharui gesaan bagi gencatan senjata Israel-Hamas pada Ahad lalu susulan pembunuhan enam tebusan di sebuah terowong di Gaza.

Sementara itu, Parti Republikan mengkritik Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris kerana tidak memberi sokongan yang lebih kuat kepada Israel.

Israel menemui enam mayat tebusan di sebuah terowong di Gaza, di mana mereka didakwa dibunuh sebelum tentera Israel tiba di sana.

Mayat tebusan dikenal pasti sebagai Carmel Gat, Hersh Goldberg-Polin, Eden Yerushalmi, Alexander Lobanov, Almog Sarusi dan Ori Danino.

Ia mencetuskan tunjuk perasaan pada Ahad atas kegagalan tentera Israel untuk menyelamatkan tebusan tersebut.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan mengadakan mesyuarat secara virtual pada Ahad bersama keluarga tebusan rakyat Amerika yang ditahan oleh Hamas di Gaza.

Menurut White House, Sullivan membincangkan tentang gesaan diplomatik untuk melaksanakan perjanjian yang dapat membebaskan baki tebusan.

Penggubal undang-undang Republikan pada Ahad tidak mendesak rundingan gencatan senjata dilaksanakan, dengan sebahagian daripada mereka menyalahkan pentadbiran Biden-Harris kerana tidak memberi sokongan yang cukup kepada Israel.

Ketika ditanya apa yang perlu dilakukan Netanyahu ke atas tunjuk perasaan di negara tersebut, Senator Republikan, Tom Cotton berkata "Saya akan menggesanya untuk menghapuskan Hamas, yang sepatutnya dilakukan Kamala Harris dan Joe Biden sejak permulaan konflik ini."

Dalam kenyataan dikeluarkan White House pada malam 31 Ogos, Harris, calon presiden Parti Demokrat, tidak menggesa untuk melaksanakan gencatan senjata dan mengutuk Hamas atas kematian tebusan di Gaza.

“Hamas adalah pertubuhan pengganas yang jahat. Dengan pembunuhan ini, Hamas mempunyai lebih banyak darah Amerika di tangannya. Saya mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Hamas yang berterusan, dan begitu juga seluruh dunia,” katanya.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI