fb fb fb fb fb

Parlimen Iran cadang pindaan RUU hukuman lebih ketat wanita tidak pakai hijab

FOTO AFP

TEHRAN, 18 Disember - Ahli parlimen Iran mencadangkan pindaan kepada rang undang-undang yang akan mengenakan hukuman lebih berat terhadap wanita yang enggan memakai hijab wajib, lapor media tempatan pada Rabu.

Rang undang-undang tersebut, telah diluluskan di parlimen tetapi masih belum diserahkan kepada kerajaan untuk pengesahan akhir.

Perkara itu mencetuskan perdebatan hangat di Iran, lebih dua tahun selepas tunjuk perasaan besar-besaran meletus sebahagiannya disebabkan kod pakaian wanita republik Islam itu.

Naib Presiden Iran Hal Ehwal Parlimen Shahram Dabiri, meminta agar proses pengesahan rang undang-undang itu ditangguhkan, menurut agensi berita ISNA.

"Kami meminta agar undang-undang kesucian dan hijab tidak dirujuk kepada kerajaan,"kata Dabiri.

Bagaimanapun, Dabiri tidak menjelaskan jenis pindaan yang dicadangkan atau memberikan jangka masa bagi proses itu.

Pada September 2023, ahli parlimen telah meluluskan rang undang-undang yang secara rasmi dikenali sebagai "Undang-Undang Menyokong Keluarga Melalui Promosi Budaya Kesucian dan Hijab".

Rang undang-undang itu telah mendapat kelulusan Majlis Penjaga, sebuah badan yang bertanggungjawab menilai undang-undang, dan dijadualkan dirujuk kepada Presiden Masoud Pezeshkian pada Disember.

Bagaimanapun, Pezeshkian menyatakan “kebimbangan” terhadap teks rang undang-undang tersebut dengan menyebut banyak "kekaburan" yang perlu diteliti.

Rang undang-undang yang terdiri daripada 74 artikel itu memperketatkan sekatan ke atas pakaian wanita di tempat awam dan mengancam tindakan terhadap perniagaan yang gagal menguatkuasakan kod pakaian tersebut, menurut laporan media tempatan.

Ia juga mengenakan penalti berat sehingga 10 tahun penjara atau denda melebihi $6,000 kepada individu yang mempromosikan “ketelanjangan” atau “kelucahan.” - AFP

TETITIA YUSOFF